Bergabung hadapi kesan Covid-19

0
1

MELIHAT ramai terkesan akibat pandemik Covid-19, seorang peniaga di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh mengambil langkah ke hadapan dengan membuka ruang kepada peniaga atau individu lain untuk bergabung menjalankan pelbagai perniagaan sekali gus berkongsi rezeki.

Pemilik Lili Agrofarm Trading, Muhamad Badri Che Amat, 57, yang juga pembekal dan pemborong pelbagai hasil agrikultur, berkata usahanya itu mendapat sambutan termasuk disertai pelawak terkenal Azlee Senario dan beberapa peniaga serta golongan profesional lain.

Menurutnya, ketika negara dilanda wabak dan krisi ekonomi, ramai peniaga dan golongan lain yang terkesan termasuk dirinya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung Covid-19.

“Ramai yang hilang pekerjaan, perniagaan terpaksa ditutup dan jualan saya turut terjejas kerana Covid-19 hingga saya terfikir untuk berganding usaha dengan mereka yang terkesan.

“Lebih ramai yang sertai, lebih besar rangkaian perniagaan kami sekali gus dapat membantu sesama sendiri untuk terus bertahan dalam situasi sukar ketika ini,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Menurutnya, selain Azlee Senario, perniagaan berkonsepkan berkongsi rezeki itu disertai kira-kira 10 individu lain termasuk bekas tukang masak profesional, peniaga madu, peniaga hasil kampung, graduan dan ramai lagi.

“Saya juga membuka peluang ini kepada sesiapa sahaja yang ingin berniaga untuk sertai kami terutama penduduk sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Mereka yang mempunyai produk desa atau hasil kampung seperti sayuran atau buah-buahan boleh menghantar ke kedai kami dan kami juga ada tempat simpanan sejuk beku untuk disewakan.

“Selain itu kami menyediakan perkhidmatan katering berkonsepkan ‘ghost kitchen’ untuk sekitar Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, bagi Sabri Man yang berpengalaman luas dalam bidang masakan termasuk pernah menjadi tukang masak peribadi kepada Sultan Johor, berkata kesan Covid-19 sangat teruk terutama kepada golongan sepertinya.

Menurutnya, jika bidang penulisan terkenal dengan konsep ‘ghost writer’ bidang masakan kini semakin terkenal dengan ghost kitchen iaitu tukang masak sambilan.

“Ramai tukang masak termasuk saya yang sebelum ini bekerja dengan hotel-hotel atau restoran besar melakukan konsep ini untuk meneruskan hidup di zaman Covid-19 ini.

“Saya memasak jika Muhamad Badri mendapat tempahan katering terutama bagi program infak makanan. Selain ada sumber pendapatan kami juga dapat bantu mereka yang memerlukan secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berharap Covid-19 dapat ditangani dengan segera dan tidak berlarutan untuk tempoh yang lebih lama supaya rakyat boleh kembali mencari rezeki seperti dahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here