“SURAT bertarikh 9 Ogos 2021 salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum @hjrashidjohor,” soal Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada rakan sejawatannya, Datuk Abdul Rashid Hasnon.
Pertanyaan Azlina itu dimuat naik menerusi Twitter berkenaan salinan surat yang dipercayai daripada Istana Negara kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung status terkini bilangan sokongan ahli Dewan Rakyat bertarikh 9 Ogos 2021.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pengerang itu turut mengingatkan Abdul Rashid tentang pertemuan mereka bersama Yang di-Pertuan Agong beramai-ramai pada 29 Jun yang lalu.
“YB bukan kita jumpa YDPA ramai-ramai pada 29 Jun 2021 ke?,” tulisnya.
Ia susulan, menerusi laporan media, Abdul Rashid menyatakan, bukan satu precedent atau duluan untuk Yang di-Pertuan Agong berkomunikasi secara terus dengan Speaker Dewan Rakyat berkaitan hal ehwal Parlimen.
Selain itu, Azalina turut memuat naik gambar sembah menghadap Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dan timbalan-timbalan speaker terhadap Yang di-Pertuan Agong pada tarikh tersebut.
Dalam gambar tersebut dilihat Tan Sri Dr Rais Yatim, Azhar, Azalina dan turut disertai Abdul Rashid.
Turut dimuat naik dalam ciapan Azalina, tangkap layar laporan berita yang memetik kenyataan Abdul Rashid.
Semalam, tular surat didakwa dari Istana Negara kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung status terkini sokongan ahli Dewan Rakyat.
Di bawah surat itu memaklumkan salinan kepada Ketua Setiausaha Negara, Speaker Dewan Negara dan timbalan-timbalan speaker iaitu Azalina dan Abdul Rashid.
Turut tular surat Azhar kepada Istana Negara bertarikh 10 Ogos memaklumkan tentang sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat itu enggan mengulas berkaitan surat tersebut kerana melibatkan Istana Negara. – Malaysiapost


