AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mengesahkan surat tular didakwa diutuskannya kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung status terkini sokongan Ahli Parlimen.
Beliau berkata, isu terbesar kini adalah kebenaran sama ada Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menulis surat kepada Istana berhubung kedudukan kerajaan sekarang yang didakwa sudah hilang majoriti.
“Jadi, masih adakah integriti tanpa majoriti? Pastinya “man of principle” (Azhar) boleh mengesahnya, kerana banyak keputusan kerajaan harus dibuat dalam tempoh ini,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, Shabery berkata, bermula dari gerakan Bersih dan selepas Pilihan Raya ke-14, Azhar dilihat tokoh terpenting dalam mengendalikan agenda “reform” sistem pilihan raya negara.
“Sebelum ini ramai percaya, kononnya ada penipuan meluas, banyaknya pengundi hantu (walaupun tak pernah dibuktikan). Diharapkan “man of principle” boleh mengubahnya.
“Namun, tokoh reform ini kemudiannya diberikan amanah mengendalikan Dewan Rakyat.
“Harapan penyokongnya Parlimen yang cekap, dan berintegiriti akan memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan,” katanya.
Justeru, Shabery berkata, beliau berharap Azhar boleh meletakkan Parlimen Malaysia di kelas dunia.
“Bagaimanapun, lompat parti adalah mukadimah kepada rasuah yang lebih besar. Lebih lama masa diberikan lebih rancak jual beli akan berlangsung.
“Saham naik turun setiap hari. Apakah “man of principle” boleh tersenyum menyaksikannya?
“Semua ini boleh mencabar prinsip dan jiwa reformnya. Juga falsafah reform Bersih anutan ratusan ribu pengikutnya di jalan raya dulu,” ujarnya.
Terdahulu, berdasarkan surat yang tular itu, Azhar didakwa memaklumkan kepada Istana Negara bahawa Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan di Parlimen.
Surat kepada Istana Negara itu dikatakan sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan, selain bagi mendapatkan status terkini bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan. – Malaysiapost

