PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bersetuju dengan pendapat bahawa sesi persekolahan hanya boleh dibuka selepas pelan pemulihan pendidikan negara telah diwujudkan oleh kerajaan.
Menurutnya, lebih 30,000 rakyat Malaysia telah menandatangani petisyen mendesak kerajaan menangguhkan pembukaan sekolah setakat semalam.
“Mengikut perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN), semua sekolah akan dibuka secara berperingkat kira-kira tiga minggu dari sekarang.
“Pakar-pakar pendidikan malah tokoh-tokoh akademik juga meminta supaya kerajaan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan berkenaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguh pembukaan sekolah.
Katanya, ia kerana justifikasi mereka serupa iaitu situasi pandemik semakin teruk amat berisiko kepada murid dan guru yang diarah kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini lebih 11,000 nyawa penduduk Malaysia telah terkorban dengan lebih 230,000 kes aktif jangkitan Covid-19 dikesan di seluruh negara.
“Kita tidak mahu nyawa murid dan guru pula dipertaruhkan selepas begitu ramai warga sektor lain dijangkiti Covid-19 kerana masih dikehendaki keluar bekerja,” ujarnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, setiap guru akan diberi suntikan vaksin sebelum sekolah dibuka pada September, namun begitu para pelajar tiada perlindungan vaksin.
Jelas beliau, dalam situasi pandemik yang semakin teruk, nyawa pelajar dan guru menjadi keutamaan dan tiada kompromi serta tolak ansur mengenainya.
Ujarnya, jika sesi persekolahan secara bersemuka bermula pada September maka ianya tidak jauh berbeza seperti kilang yang dibuka dalam keadaan ‘total lockdown’ separuh masak yang diumumkan.
“Hospital penuh, fronliner kepenatan, tiba-tiba kerajaan arah buka sekolah? Tolong fikirkan sama, adakah ini yang dikatakan tidak gagal oleh mereka?
“Berapa jumlah jangkitan harian? Lihat sahajalah video dari netizen yang saya siarkan semalam, itu juga tidak gagal dimata mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pelan pemulihan sepatutnya menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang ‘rosak teruk’. – Malaysiapost

