PERMOHONAN rayuan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi yang berkongsi surat berhubung penolakan berkenaan di laman Facebook, hari ini.
Menerusi surat bertarikh 11 Ogos 2021 dan ditandatangani Hamzah itu, penolakan rayuan dibuat berdasarkan Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).
Amir berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan itu yang tidak disertakan dengan sebarang sebab penolakannya.
“Hari ini sepatutnya keputusan mahkamah untuk isu pendaftaran Muda. Di hari belia hari ini, Hamzah Zainudin ambil keputusan tolak pendaftaran Parti Muda tanpa beri sebarang sebab!
“Kita tahu, tak ada sebab mereka nak tolak pendaftaran Muda, melainkan kerana mereka takut!” katanya.
Pada 4 Februari lalu, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan Menteri Dalam Negeri.
Ia susulan permohonan pendaftaran parti itu yang dihantar pada September 2020 ditolak RoS pada Januari lalu. – Malaysiapost

