
MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia menggesa pelantikan Naib Canselor yang baharu dengan kadar segera.
Menerusi satu kenyataan hari ini, MPP UiTM Se–Malaysia berkata pihaknya telah menggesa pelantikan Naib Canselor UiTM semasa sesi libat urus MPP bersama Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pengajian Tinggi pada 22 Jun lalu.
Katanya, gesaan itu kerana MPP UiTM berpendapat lantikan baharu mampu memberi impak signifikan yang positif kepada warga UiTM.
Tambahnya, ketiadaan Naib Canselor menyebabkan sebarang keputusan universiti sukar untuk diputuskan kerana UiTM merupakan universiti terbesar di Malaysia dan Naib Canselor mempengaruhi semua keputusan yang dibuat.
“Sebagaimana sedia maklum, UiTM ketiadaan Naib Canselor sejak Mac 2021. Kami di barisan MPP UiTM Se–Malaysia menyatakan keprihatinan dengan nasib 180,000 mahasiswa UiTM kerana ketiadaan Naib Canselor.
”Ini memberikan kesan yang besar kepada semua warga UiTM kerana ketiadaan Naib Canselor hampir enam bulan,” katanya.
MPP UiTM Se–Malaysia juga menegaskan gesaan itu dibuat demi kepentingan akademik universiti agar nama UiTM dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Jelasnya, mereka yakin dengan adanya Naib Canselor, mahasiswa UiTM akan bergerak dengan lebih aktif dan progresif.
“Akhir kata, kami sebagai wakil pelajar UiTM berharap agar pihak berkenaan mempercepatkan pelantikan Naib Canselor UiTM. Kami memerlukan Naib Canselor demi kepentingan dan kebajikan pelajar UiTM,” katanya. – Malaysiapost
