Keabsahan Perdana Menteri: Pemuda Umno lapor polis

0
1
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

PEMUDA Umno hari ini membuat laporan polis berhubung keabsahan status jawatan Perdana Menteri.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata laporan itu dibuat mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keabsahan status Perdana Menteri dipersoalkan berdasarkan dua faktor iaitu pertama, Presiden Umno mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai 2021 berserta 14 surat akuan Ahli-ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

“Dengan penarikan 14 Ahli Parlimen tersebut, kerajaan berasaskan kedudukan tempat duduk di Dewan Rakyat yang muktahir iaitu 114, hilang 14 orang sokongan menjadikan kedudukan sokongan terhadap Perdana Menteri hanya tinggal 100 Ahli Parlimen, justeru hilang majoriti.

“Kedua, Sebagaimana dilaporkan portal Malaysiapost, surat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong yang ingin mendapatkan penjelasan kedudukan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam surat yang tular tersebut, Azhar menjelaskan kedudukan mutakhir bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong Perdana Menteri daripada 106 seperti mana dimaklumkan pada 3 Ogos lalu, kini berbaki 100 sahaja,” katanya dalam sidang media di bangunan Umno hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, berasaskan dua faktor itu, Perdana Menteri seolah-olah sudah hilang keabsahan dan perlu segera meletak jawatan berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang DiPertuan Agong.

“Namun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa di bawah Klausa (2)(b) dalam Perkara 40 untuk menolak permintaan Perdana Menteri bagi maksud pembubaran Parlimen atas situasi pandemik Covid-19 yang masih meruncing ketika ini.

“Jika ini berlaku, maka Perdana Menteri tiada pilihan melainkan untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Tambahnya, isu keabsahan status Perdana Menteri amat kritikal dan serius kerana memberi implikasi besar terhadap segala urusan pentadbiran dan hal ehwal kerajaan serta negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media Pemuda UMNO di Bangunan UMNO hari ini.

“Ini termasuklah status keabsahan sebarang kelulusan oleh Perdana Menteri terhadap dasar-dasar dan polisi-polisi baharu Kerajaan, selain status keabsahan segala pinjaman dibuat kerajaan termasuk yang terbaharu berjumlah RM11.5 bilion.

“Ketiga, status segala kontrak dan waran yang diluluskan Perdana Menteri yang sudah hilang keabsahan,” katanya.

Beliau berkata, isu yang paling besar apabila Perdana Menteri sudah hilang keabsahannya, maka di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan bermakna Perdana Menteri hilang kuasa yang diperuntukan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, Pemuda Umno mendesak Perdana Menteri segera meletak jawatan lantaran sudah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen sekali gus mengelak implikasi besar terhadap keabsahan segala urusan Kerajaan dan negara yang boleh dipersoalkan kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here