VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyarankan jemaah menteri meletak jawatan kerana mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan majoriti.
Shahrir turut mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Umno terutama individu berjawatan yang mahu menjadikan sidang Parlimen untuk menterjemahkan sokongan mereka terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Terdengar saya hujah dari kalangan MP Umno/BN, terutama yang berjawatan, apabila ditanya pendirian mereka terhadap keputusan parti menarik sokongan daripada TS Mahiadin (Muhyiddin) dan kerajaan PN bahawa akan terjemahkan pendirian mereka pada sidang parlimen awal September ini.
“Maksudnya, parti sahaja tidak boleh menguasai mereka. Sebagai ahli parlimen, kononnya mandat mereka sudah melebihi dari pendirian parti dan merangkumi juga pendirian pengundi yang bukan ahli parti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, lebih menarik lagi, kumpulan itu menekankan bahawa sidang Parlimen adalah tempat sebetulnya untuk menyatakan pendirian, sedangkan ketika Parlimen digantung tiada seorang pun ‘terkilan’ dengan tindakan itu.
“Apa yang menarik bagi saya ialah apabila mereka berdepan dengan keputusan parti, mereka pula menekankan bahawa sidang parlimen adalah tempat sebetul-betulnya untuk menyatakan pendirian sokong atau tidak sokong.
“Ianya menarik kerana sepanjang masa Parlimen digantung oleh kerajaan TSMY (Muhyiddin), tidak ada seorang pun yang merasa terkilan sangat kerana Parlimen tidak bersidang,” katanya.
Justeru, Shahrir berkata, beliau mengingatkan Ahli Parlimen BN dan Umno bahawa mereka bukan sahaja tidak patuh kepada keputusan parti tetapi juga tidak patuh terhadap Perlembagaan negara.
“Majlis Kerja Tertinggi Umno jugalah yang bertegas supaya Parlimen bersidang. Bukannya mereka yang berjawatan dalam kerajaan.
“Tapi, ini semuanya sudah jadi soal akademik. TSMY (Muhyiddin)sudah hilang majoriti. Jemaah Menterinya sudah pun patut letak jawatan.
“Ianya sekarang sudah jadi soal Perlembagaan. Tak patuh kepada parti, satu perkara.Tak patuh kepada Perlembagaan Malaysia, satu hal yang besar,” katanya.
Semalam, pemimpin politik komponen PN mengadakan pertemuan petang semalam dipercayai bagi memeterai konsensus untuk mengekalkan sokongan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.
Antara yang dikenal pasti hadir adalah Setiausaha Agong PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Semalam tular mesej pertemuan Muhyiddin bersama ketua parti PN yang dijadualkan jam 5 petang.
PN dianggotai oleh AS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Gerakan dan Parti Maju Sabah (SAPP) selain Bersatu. – Malaysiapost

