Bayi Shuib, arwah Siti Sarah negatif Covid-19

0
1

PELAWAK dan usahawan, Shuib Sepahtu memaklumkan anak keempatnya yang baru dilahirkan, Ayash Affan disahkan negatif Covid-19.

Terdahulu, Anak Allahyarham Siti Sarah itu, masih berada di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi mendapatkan rawatan ekoran kelahirannya pra matang.

Shuib atau nama Shahmira Muhammad berkata, sepatutnya dia melawat Ayash di hospital semalam, tetapi terpaksa ditangguhkan atas saranan doktor.

“Anak-anak asyik bertanyakan mengenai adiknya. Namun, saya tangguhkan dahulu atas saranan doktor bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah, bayi dalam keadaan stabil, malah sudah menjalani ujian saringan Covid-19 sebanyak dua kali dan keputusannya adalah negatif.

“Doakan semoga ujian calitan kali ketiga negatif juga. Insya-Allah, Ayash akan dibenarkan pulang dalam tempoh sebulan jika kesihatannya baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib turut meluahkan kerisauannya tentang bagaimana cara mahu menguruskan Ayash, yang baru dilahirkan, terutama berkaitan susu.

Katanya, doktor juga ada menyarankannya untuk mencari ibu susuan tetapi dia perlu rujuk kepada yang lebih arif kerana berkaitan agama.

“Tidak dinafikan, banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Sebagai contoh, saya nak cari jubah untuk anak-anak pun kelam kabut hingga terpanggil nama pembantu rumah yang sudah meninggal dunia.

“Itu belum lagi soal Ayash. Saya baru terfikir bagaimana nak menguruskannya, hari ini. Doktor menyarankan saya membekalkan susu daripada ibu susuan.

“Ayash hanya bergantung dengan susu formula sejak dilahirkan. Perkara inilah membuatkan saya termenung sejenak bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini. Walaupun ada yang menawarkan diri memberikan susu ibu.

“Tetapi saya terpaksa memikirkannya apabila membabitkan soal hukum agama. Jadi, saya kena berusaha mencari jalan penyelesaian. Saya akan merujuk kepada ustaz berhubung ibu susuan,” katanya.

Shuib berkata, dia teringat permintaan arwah yang mahu dirinya menjaga anak keempat ini.

“Arwah minta saya menguruskan Ayash buat susu, tukar lampin dan berjaga tengah malam.

“Saya terfikir arwah mesti bantu jika saya tidak boleh bangun. Namun, sebenarnya, arwah memang nak saya jaga Ayash seorang diri apabila meninggalkan saya dan anak-anak,” katanya.

Hospital memberi tempoh sebulan sebelum membenarkan Shuib membawa pulang bayi pramatang, Ayyash pulang ke rumah.

Jumaat lepas, Siti Sarah ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan pada 6 Ogos lalu dan arwah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan pada jam 5 petang.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin lalu selepas bertarung nyawa akibat komplikasi Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here