Aiman Hanif
SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun didakwa telah mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang majoriti sebagai Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan.
Berdasarkan surat yang tular, Azhar memaklumkan perkara itu kepada Istana Negara dengan mengesahkan Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan saja di Parlimen.
Surat yang didakwa diutuskan Azhar kepada Yang di-Pertuan Agong itu menyebut bahawa Muhyiddin hanya ada 100 kerusi selepas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletak jawatan selaku Menteri Pengajian Tinggi dan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Surat itu diutuskan Azhar kepada Istana Negara sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan.
Berdasarkan warkah dari Istana Negara yang dilihat Malaysiapost, Yang di-Pertuan Agong bertitah untuk mendapatkan status terkini bilangan Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan.
Warkah yang bertarikh 9 Ogos itu menggunakan kepala surat Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara.
Berdasarkan surat berkenaan, Agong ingin mendapatkan kepastian jumlah sokongan kerajaan kerana berdasarkan surat 3 Ogos 2021, kedudukan semasa sokongan kepada Muhyiddin adalah 106 orang pada 4 dan 6 Ogos.
Bagaimanapun menurut surat Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara itu, jumlah berkenaan dijangka berkurangan selepas dua Menteri meletakkan jawatan.
Surat berkenaan ditandatangani Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan pengesahan Speaker Dewan Rakyat berhubung perkara itu.
Pada 9 Ogos lalu, Umno mendedahkan 13 surat membabitkan ahli parlimen termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Mohamadin Alamin yang tidak lagi menyokong Muhyiddin Perdana Menteri.
Surat berkenaan telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Surat itu disahkan oleh peguam Santhra Segaran, bertarikh antara 29 Julai dan 3 Ogos.
Surat-surat terbabit disiarkan secara ringkas di akaun media sosial parti itu membabitkan 14 Ahli Parlimen yang menandatangani akuan tidak menyokong Muhyiddin. – Malaysiapost

