Adun Indera Kayangan positif Covid-19

0
1

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada seorang penduduk di kawasannya minggu lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ay Ling yang memakai beliau menjalani ujian saringan pada Isnin lalu selepas mengetahui penduduk terbabit positif.

“Dengan dukacitanya, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah disahkan positif Covid-19.

“Pada Ahad lalu, saya menerima berita seorang penduduk yang telah saya temui minggu lepas didapati positif Covid-19. Maka pada Isnin saya dengan segera mengambil ujian saringan PCR Covid-19 di Klinik Kesihatan Gial untuk menyemak status kesihatan saya.

“Malangnya, ujian saringan tersebut dipulangkan dengan keputusan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau telah lengkap vaksinasi sepenuhnya pada 11 Jun lalu.

“Saya sudah mula mengamalkan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga sejak saya mengambil ujian saringan PCR-19 pada hari Isnin.

“Dengan keputusan positif ini, saya akan mematuhi nasihat dan arahan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kangar untuk menjalankan kuarantin kendiri di rumah saya sehingga habis tempoh jangkitan ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu Pusat Komuniti Adun Indera Kayangan juga akan ditutup sementara waktu.

“Saya mohon maaf kepada semua pihak iaitu staf pejabat saya, sahabat perjuangan dan semua penduduk yang terkesan akibat bersama dengan saya dalam beberapa program kebajikan dan penyerahan bantuan yang dilaksanakan oleh Pusat Komuniti ADUN Indera Kayangan.

“Walaupun semua program dijalankan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, saya menyeru semua yang ada kontak rapat dengan saya sejak 7 hari kebelakangan ini untuk menjalankan ujian saringan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Gan Ay Ling

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here