Saya dulu lagi teruk dihina, tak ada sesiapa pernah ditahan – Guan Eng

0
1

AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng melahirkan rasa kesal terhadap penahanan empat individu kerana didakwa menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata pihak polis seharusnya memberi tumpuan terhadap isu yang lebih penting dan bukannya sesuatu yang tidak bermanfaat seperti isu melibatkan Menteri Besar Kedah.

“Kalau nak ambil tindakan, janganlah terhadap sesuatu yang tak bermanfaat macam siasatan terhadap mereka yang dikatakan menghina Menteri Besar Kedah.

“Semasa saya jadi Menteri Kewangan dan Ketua Menteri Pulau Pinang, banyak kali netizen keluarkan kenyataan seperti ini, (malah) lagi teruk… tapi tiada tindakan diambil.

“Ini kerana ia sesuatu yang kita kena hadapi sebagai pemegang jawatan, jika mereka buat perkara yang tidak berasas, samanlah, kemuka saman malu di mahkamah, kenapa nak tahan mereka,” katanya.

Beliau ditemui media ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berhubung siasatan terhadap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu, hari ini.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, tindakan tegas seperti menahan mana-mana individu bagaimanapun perlu dibuat jika melibatkan kes seperti ugutan bunuh atau mencederakan.

“Itu (ugutan bunuh dan nak lakukan kecederaan) saya pernah kena. Kes seperti itu polis kena ambil tindakan.

“Tapi semata-mata menghina, saya telah mengalami keadaan sedemikian sepanjang masa, kenapa polis tak ambil tindakan. tetapi dalam kes Menteri Besar Kedah, empat orang telah ditahan.

“Menteri Besar Kedah sendiri sudah minta maaf, menunjukkan dia (mengaku) dah buat salah. Ini saya rasa memang tak betul,” katanya lagi.

Terdahulu empat individu ditahan kerana didakwa menghina serta mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Muhammad Sanusi menerusi Facebook.

Ia dipercayai susulan kenyataan Muhammad Sanusi pada 6 Ogos lalu yang menyebut “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama”. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here