AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa siasatan terhadap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka di ibu negara pada 2 Ogos lalu, bermotifkan politik.
Setiausaha Agung DAP itu berkata siasatan polis terhadap beliau serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain hanya membazirkan masa serta sumber tenaga polis.
“Masa dan sumber pihak polis sepatutnya digunakan untuk melindungi dan menjaga keselamatan rakyat. Ini (siasatan) bermotifkan politik, ini usaha untuk menekan Ahli Parlimen daripada menjalankan tugas kami.
“Saya rasa (cubaan) ini tidak akan berjaya kerana semua Ahli Parlimen yang dipanggil (polis) kita rasa seperti dihina, kami ikut undang-undang, tapi kami nak tanya apa polis buat dan kenapa nak halang kami.
“Kalau nak ambil tindakan, janganlah terhadap sesuatu yang tidak bermanfaat,” katanya kepada media ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Pulau Pinang hari ini.
Beliau diiringi peguamnya, RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.
Pada 2 Ogos lalu, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka sebelum cuba berarak ke bangunan Parlimen, namun dihalang oleh polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata pada hari tersebut bersama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mahu memasuki pejabat di Parlimen namun telah dihalang dengan cara salah.
“Semua Ahli-Ahli Parlimen ada pejabat masing-masing di bangunan Parlimen, tapi pada pagi 2 Ogos kami semua dihalang, malah jalan menuju ke Parlimen semuanya telah disekat oleh polis.
“Kami dihalang oleh FRU, ini kali pertama FRU dengan perisai menghalang Ahli Parlimen masuk ke Parlimen. Ini juga melanggar satu usul yang diluluskan di Parlimen tahun lalu,” katanya.
Usul tersebut memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan Rakyat hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-ahli hendak pergi dan balik. – Malaysiapost

