211 kes kematian baharu akibat Covid-19

0
1
Jenazah covid-19 dibawa oleh skuad pengurusan jenazah covid-19 Malaysia dengan sebuah van jenazah di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

SEBANYAK 400 kes atau 1.9 peratus daripada 20,780 kes baharu harian Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala kategori satu dan dua 20,380 kes atau 98.1 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan itu berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.

Menurutnya, ada antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Keseluruhan hanya 5,138 kes (24.7 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi Covid-19,” katanya dalam sayu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan hari ini pula adalah sebanyak 211 kes menjadikan keseluruhan 11,373 kes kematian direkodkan sejak wabak itu melanda negara.

Menurutnya, kematian membabitkan 184 warganegara, 27 bukan warganegara dengan 16 kes kematian luar hospital (BID) iaitu 10 warganegara dan enam lagi bukan warganegara.

“Kes-kes kematian hari ini melibatkan Selangor 79 kes, Kuala Lumpur (41), Kedah (21), Johor (16) dan Sabah (13).

“Masing-masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Terengganu, masing-masing tujuh kes di Pulau Pinang dan Perak, enam kes di Melaka serta lima kes di Pahang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 17,973 kes atau keseluruhan 1,075,816 kes yang sudah sembuh setakat ini.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,053 kes dengan 546 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Jumlah kluster setakat ini adalah 4,034 kluster termasuk 31 kluster baharu dilaporkan hari ini dan 2,776 kluster telah tamat, namun 1,258 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here