
KESESAKAN luar biasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons dan PPV Bukit Jalil seperti yang tular di media sosial hari ini, ternyata membimbangkan susulan boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.
Perkara itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu ia ditangani dan tidak berulang lagi terutama dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Saya terkejut melihat video keadaan di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons dan PPV Bukit Jalil hari ini yang penuh berpusu-pusu sehingga mengabaikan SOP.
“Saya harap pihak penguatkuasa dapat memastikan keadaan pekerja asing bersesak-sesak seperti ini tidak berulang lagi kerana ianya boleh menyebabkan penularan wabak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau memaklumkan akan menghubungi kementerian yang berkaitan serta polis supaya kejadian itu dapat ditangani segera.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dilaporkan sudah mengambil tindakan segera bagi menangani kesesakan di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons susulan video tular kesesakan di lokasi tersebut hari ini.
Ketua Polis, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengarahkan Pasukan Pematuhan ke PPV tersebut bagi mengawal keadaan dengan hebahan dibuat supaya orang ramai yang hadir mematuhi SOP.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan kesesakan di PPV Hotel Grand Season, dipercayai melibatkan warga asing yang beratur tanpa penjarakan fizikal.
Mereka dipercayai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.
Video kesesakan itu dikongsi pengguna Twitter Surirumah Sepenuh Masa @_loveshak, menunjukkan orang ramai dipercayai warga asing beratur panjang dalam keadaan berhimpit tanpa mematuhi SOP. – Malaysiapost
