POLIS menerima satu laporan berkenaan penjualan sijil digital vaksin palsu membabitkan satu artikel yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.
Pemilik akaun laman sosial berkenaan menyatakan bahawa sijil berkenaan ‘sudah mula dijual di atas talian’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana memberikan maklumat palsu.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.
“Orang ramai turut diminta agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan penjualan sijil ini,” katanya. – Malaysiapost

