Velodrom rakyat wajar dinamakan Velodrom Dato’ Azizulhasni Awang

0
1

VELODROM rakyat di Dungun, Terengganu yang sedang dalam proses pembinaan dicadangkan diberi nama sempena nama jaguh basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang yang mengharumkan nama negara dengan pingat perak di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata langkah itu bagi memberi inspirasi kepada generasi muda dalam menghasilkan juara pada masa depan.

Azizul yang lebih dikenali dengan panggilan Jijoe dan juga gelaran ‘The Pocket Rocketman’ memenangi pingat perak dalam acara kirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa pada Olimpik Rio 2016.

“Kalau tanya saya, bila siap velodrom rakyat di Dungun ini kita namakan Velodrome Dato’ Azizulhasni Awang.

“Tak silap, pecah tanah tahun 2011, masa tu John Beasley jurulatih Jijoe pun datang. Dia sangat teruja bila ada usaha nak berikan pendedahan awal anak kampung dalam arena basikal trek,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini ‘mosquito riders’ atau berkayuh di jalan raya sudah menjadi budaya di kalangan anak muda dan pembinaan velodrom rakyat adalah permulaan sebelum ke tahap yang lebih tinggi seperti Velodrom Nasional, di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, projek pembinaan velodrom rakyat itu mengalami kelewatan bukan sahaja faktor bajet dan kerja pembinaan, namun juga isu penerimaan di kalangan pemimpin tempatan.

“Ketika itu ada bantahan pemimpin tempatan. Ada yang kata projek ini tak penting untuk rakyat. Masa tu ada orang kampung sendiri pun tak kisah sangat fasal Azizul.

“Kredit kepada Datuk Seri Zulkeples Embong Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu dan Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu, yang memang komited bab-bab sukan anak negeri.

“Mereka faham konsep sukan memerlukan proses yang panjang dan ekosistem luas untuk melahirkan seorang juara. Mereka usahakan juga projek ini untuk jadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dasar yang tidak boleh menamakan bangunan atas nama mereka yang masih hidup ketika ini, namun Kabinet boleh memutuskan atas keistimewaan tertentu, misalnya Arena Nicol David di Bukit Jalil untuk gelanggang squash, atau Pusat Akuatik Pandelela Rinong di Kuching.

“Lain-lain negara banyak yang boleh dicontohi seperti Rod Laver Arena di Melbourne dan Arthur Ashe Stadium di Amerika Syarikat (AS).

“Nama adalah sumber inspirasi. Inspirasilah yang membina generasi akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here