“John Beasley bukan hanya seorang jurulatih” – Azizulhasni

0
1

“JURULATIH, John Beasley watak yang amat penting disebalik kejayaan saya,” kata Jaguh sukan berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Azizulhasni yang baru memenangi pingat perak dalam acara keirin di Temasya Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, menzahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada jurulatih itu di atas jasa dan pengorbanan dalam melatih dirinya hingga mencapai kejayaan yang diimpikan.

“Terima kasih kepada jurulatih saya John Beasley serta isterinya Vicky Beasley. Watak yang amat penting di sebalik kejayaan saya selama ini.

“Walaupun lahir sebagai seorang Mat Salleh Aussie dan berkulit putih, tetapi jiwa beliau sangat dekat dengan Malaysia.

“Orang luar tidak dapat bayangkan akan pengorbanan beliau untuk saya dan juga sukan lumba basikal negara kita,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Pelumba berusia 33 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu turut mengimbas kembali nostalgia bersama jurulatihnya.

“Teringat zaman muda remaja dahulu, ketika atas kapal terbang John Beasley selalu bagi ‘flight meal’ beliau kepada saya dan katanya dia tidak lapar.

“Saya naif dan percaya bulat-bulat, walhal beliau nak saya tambah berat badan dan makan dengan cukup,” katanya.

Tambahnya, Beasley seorang yang dikenali dalam arena sukan berbasikal antarabangsa, namun beliau memilih Malaysia.

“Beliau sangatlah dihormati di arena lumba basikal antarabangsa dan juga sentiasa menjadi rebutan negara-negara luar akan tetapi beliau taat dengan Malaysia seolah-olah sudah terkena ‘nasi kangkang’ orang Melayu.

” John Beasley bukan hanya seorang jurulatih kepada saya, tetapi lebih dari itu,” katanya.

Selain itu, Azizulhasni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada “TeamAzizul” serta rakan pasukannya, Shah Firdaus, Fadhil Zonis dan Anis Rosidi yang bersama-sama berusaha untuk sampai ke tahap ini.

Malah, beliau juga berharap ketiga-tiga rakan pasukannya itu akan bersama-sama dengannya di Paris pada 2024 nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here