Tidak dapat sambut cahaya mata pertama bersama akibat Covid-19

0
1

BERITA pemergian penyanyi dan usahawan, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 selepas melahirkan anak secara pembedahan, semalam nyata membuktikan wabak pembunuh itu tidak mengenal mangsa.

Kisah sama berlaku pada satu pasangan muda yang sepatutnya menimang cahaya mata pertama mereka, namun ibu muda terbabit meninggal dunia akibat Covid-19.

Mohd Aiman Syakir, 26, kehilangan isterinya, Allahyarham Izzati Najah Amran, 26, yang menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang, kelmarin.

Isterinya yang dijangkiti Covid-19 terpaksa menjalani pembedahan untuk bersalin bayi pertama mereka pada Sabtu lalu, sebelum disahkan meninggal dunia pada 4 petang kelmarin.

Mohd Aiman berkata, arwah menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari melahirkan bayi perempuan yang dinanti-nantikan mereka.

“Kami ke hospital pada Khamis lalu kerana isteri sudah rasa sakit bersalin dan dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk wad.

“Bagaimanapun isteri saya didapati positif Covid-19 dan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dengan segera,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.

Menurutnya, isterinya selamat melahirkan bayi seberat 3.02 kilogram itu pada 5 pagi, Sabtu lalu namun tidak dibenarkan untuk melihat anaknya sebelum kesihatannya merosot.

“Dia ditidurkan selepas oksigennya turun kepada 30 peratus sebelum disahkan meninggal dunia semalam,” katanya.

Aiman yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang berkata, bayi mereka masih ditempatkan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan sihat.

“Buat masa ini keluarga arwah isteri di Pendang akan menjaga anak kami memandangkan saya dan keluarga di Pulau Pinang perlu menjalani kuarantin,” jelasnya.

Katanya, arwah mahu menamakan anak mereka dengan nama Lilly Elleyna yang diberikan sejak awal kehamilannya.

“Saya sedih kerana kehilangan arwah isteri ketika usia perkahwinan kami baru lebih setahun dan baru menerima kelahiran cahaya mata pertama.

“Saya reda dan perlu lebih kuat untuk menjaga anak pertama kami ini walaupun dia tidak sempat rasa kasih sayang ibunya. Saya juga berharap keluarga dapat mendoakan dan beri semangat kepada saya,” katanya.

Jenazah Allahyarham Izzati Najah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Tengah, Pendang dekat sini pada 12 tengah malam semalam selepas selesai proses bedah siasat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here