MAIWP tidak diskriminasi vaksinasi untuk bukan Islam – Menteri Agama

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menafikan dakwaan kononnya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hanya mengutamakan orang Islam dalam pemberian vaksin.

Zulkifli menerusi ciapan di Twitternya, berkata pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak yang dikendalikan oleh MAIWP sebenarnya terbuka kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau turut memuat naik gambar yang menunjukkan bahawa ramai orang bukan Islam turut mengambil vaksin di PPV bergerak MAIWP.

“Jika dilihat dalam gambar, bukan Islam lebih ramai. Ini yang sebenarnya berlaku di sesetengah masa, biasanya sebelah petang sepanjang 4 Ogos hingga 12 September. Tidak ada bukan Muslim yang dinafikan hak untuk mendapat vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata MAIWP selaku badan yang menguruskan kutipan, agihan zakat dalam kalangan Muslim di Wilayah Persekutuan sudah pasti akan mengembalikan manfaat kepada klien mereka yang merupakan Muslim.

“Fokus kami asalnya adalah 7,500 asnaf, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan lain-lain.

“Sebelah pagi, MAIWP memfokuskan proses vaksinasi kepada Muslim yang telah mendaftar dengan MySejahtera melalui MAIWP. Manakala sebelah petang, ia dibuka juga untuk awam. Alhamdulillah, ramai bukan Muslim mendapat manfaat daripada usaha MAIWP.

“Saya amat hargai jika kita dapat mempromosikan inisiatif MAIWP. Ini terutamanya untuk asnaf, OKU, warga emas di sekitar kawasan-kawasan yang ditetapkan. Masih ada yang tidak mendaftar dengan MySejahtera, bahkan tidak tahu apa itu MySejahtera. Kadar vaksinasi perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ciapan MAIWP yang telah dipadam dilakukan hanya untuk menguar-uarkan kepada klien MAIWP iaitu pembayar dan penerima zakat mengenai khidmat vaksinasi yang disediakan.

“Memandangkan pada hari-hari tertentu, bilangan Muslim yang mendaftar untuk vaksinasi masih tidak mencapai sasaran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here