TIADA Pilihan Raya Kecil (PRK) akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata berdasarkan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos dan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), peruntukan Perlembagaan mana-mana negeri berhubungan pilihan raya bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kesan sepanjang tempoh darurat.
“Di bawah Perkara 46(5) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.
“Seandainya kekosongan luar jangka itu dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, mengikut Fasal (3), maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan Speaker secara bertulis memberitahu SPR sebaliknya.
“Sehubungan itu, YB Speaker Dewan Negeri Kelantan telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut. Selaras dengan itu, tiada PRK akan dijalankan untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN N.23 Melor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, PRK DUN Melor yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Yusnan Yusof ditangguhkan. – Malaysiapost

