TOKOH Wartawan veteren, Datuk A Kadir Jasin berkata Kluster Menteri yang menggunakan kedudukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang kepimpinan parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak membantu mereka agar lebih dihormati.
Beliau berkata,kumpulan menteri menteri, timbalan menteri dan Pengerusi GLC Umno yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Presiden Umno itu, dan dengan menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk mengkritik parti mereka boleh disifatkan sebagai pengecut.
“Kalau mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan Ahmad Zahid dan dengan pengaruh Mohd Najib (Razak) dalam kepemimpinan parti, mereka sepatutnya bertindak sebagai orang berani.
“Mereka sama ada berlawan dengan Ahmad Zahid dan kluster mahkamah dari dalam atau luar daripada parti itu. Menggunakan kuasa eksekutif kerajaan untuk menghentam parti sendiri adalah perbuatan pengecut dan salah,” katanya menerusi di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Kadir berkata, sekiranya Kluster Menteri berani dan mempunyai pekerti yang tinggi, mereka sepatutnya hadir mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan berbahas secara bersemuka dengan Ahmad Zahid dan ahli-ahli yang lain.
Tambah Kadir, ada di kalangan mereka yang memegang jawatan dalam MT yang tidak hadir mesyuarat itu.
“Ketua mereka dalam kerajaan PN, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah salah seorang naib presiden Umno, sepatutnya dia jadi anak jantan dan berbahaslah secara bersemuka dengan Ahmad Zahid. Dia timbalan perdana menteri sekarang!
“Kini mereka terbabit pula menggunakan kuasa eksekutif bagi menekan parti mereka sendiri melalui tindakan terbaru Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS. Amat jelas yang perintah terbaru RoS berkaitan pengangguhan pemilihan parti itu adalah tindakan politik.
“Adakah mereka sedang bersubahat menggunakan kuasa eksekutif untuk menyingkir Ahmad Zahid dan kluster mahkamah dengan tujuan mengambil alih kepemimpinan parti itu? Atau mereka mahu Umno diharamkan supaya mereka boleh merampasnya dengan sekali lagi mendaftarkan “Umno Baru”?,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengakui mengalami krisis kepercayaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi namun beliau memilih kekal setia bersama parti itu.
Khairy menjelaskan pada masa ini beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga keabsahan kerajaan diputuskan di Parlimen September depan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan

