MOTAC sambut baik kebenaran pelancongan individu dua dos

0
2
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara. MOTAC

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik kebenaran aktiviti pelancongan bagi individu lengkap dua dos vaksin.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri semalam, dilihat satu langkah awal yang dapat memberikan kelegaan buat pihak industri yang telah lama terjejas berikutan penutupan sektor tersebut sebelum ini.

“Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia selaras Pelan Pemulihan Pelancongan digariskan kementeriannya, dengan keputusan kerajaan itu memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan di negeri yang beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya.

“Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama, dibenarkan membabitkan ‘homestay’ dan hotel bagi individu sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Pengusaha ‘homestay’ dan hotel perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis, menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bahawa individu terbabit sudah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Tambah Nancy, kementeriannya yakin dan percaya kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah serta cara terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan, termasuk mempertimbang pembukaan berperingkat dengan persiapan rapi aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Kelonggaran itu sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada semua pihak terbabit bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

“Justeru, secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan masyarakat sudah lengkap divaksinasi untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang memulakan aktiviti pelancongan di kawasan dibenarkan supaya melancong dengan selamat.

“Bersama-samalah kita memanfaatkan kemudahan diberikan ini dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Semalam, dalam pengumuman khas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama membabitkan ‘homestay’ dan hotel, antara kelonggaran diberikan kepada individu sudah menerima vaksinasi lengkap, berkuat kuasa esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here