Tanpa jawatan besar dalam kerajaan Zahid tak mampu dominasi biro politik, MKT

0
1
shahrir samad

VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tanpa jawatan besar dalam kerajaan, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mampu mendominasikan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Beliau berkata sedemikian sebagai merujuk kenyataan wartawan veteran, A Kadir Jasin yang menyatakan menteri di kalangan Ahli Parlimen menggunakan kedudukan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Ahmad Zahid.

Katanya, tulisan A Kadir menerusi hantaran di laman Facebook itu hanyalah kenyataan orang yang tidak bersama Umno.

“Ini penulisan seorang yang tidak bersama Umno tetapi menghuraikan keadaan semasa Umno dari sudut prinsip berpolitik dan kelakuan seseorang sebagai pemimpin.

“Memang ada mereka yang berjawatan, mahupun sebagai ahli parlimen atau menteri besar, menteri/timbalan menteri dan di GLC (pengerusi syarikat berkaitan kerajaan), yang berada dalam MKT Umno.

“Takkan mereka berdiam diri dalam mesyuarat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Shahrir berkata, malah Biro Politik MKT Umno melibatkan juga ketua-ketua perhubungan negeri maka ianya luarbiasa kerana perbincangan dan keputusan yang dilakukan benar-benar melibatkan ramai pemimpin parti itu.

“Dan mereka juga bagaikan pak turut? Tanpa jawatan besar dalam kerajaan dan seorang diri, Zahid tidak mampu mendominasi Biro Politik dan apatah lagi MKT.

“Prinsip bermesyuarah tetap kekal disebalik setiap keputusan parti di peringkat tertinggi. Bermaruahlah pemimpin berdiri atas prinsip,” katanya.

Terdahulu, A.Kadir menempelak beberapa Ahli Parlimen Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan PN kerana tidak mahu bersemuka dengan Ahmad Zahid dan tidak hadir mesyuarat MKT.

Katanya, sepatutnya mereka perlu berjumpa dengan Presiden Umno dan berbahas secara bersemuka.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno diberi tempoh 48 jam daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menentukan sokongan kepada kerajaan PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here