JENAZAH penyanyi dan usahawan Siti Sarah Raisuddin, 37, yang meninggal dunia awal pagi tadi selepas bertarung nyawa melawan Covid-19 masih berada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Menerusi kenyataan daripada pengurusnya, jenazah Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
Namun begitu, waktu jenazah akan dikebumikan tidak dinyatakan.
“Jenazah Siti Sarah Raissuddin masih berada di HUKM untuk pengurusan jenazah. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
“Waktu dan ketika masih belum diketahui. Apa-apa saya akan update,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, pemergian pelantun lagu Sandarkan Pada Kenangan itu turut mendapat ucapan takziah daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam hantaran di laman Facebook, Dr Noor Hisham turut mengucapkan takziah kepada semua rakyat Malaysia yang terkorban akibat virus berkenaan.
“Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raisuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat Covid-19, Al Fatihah,” tulisnya.
Terdahulu, Sarah yang juga isteri kepada Shuib Sepahtu meninggal dunia kira-kira jam 5.13 minit pagi tadi.
Penyanyi itu yang hamil tujuh bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan.
Sarah terpaksa ditidurkan pada 6 Ogos lalu selepas keadaan kesihatannya menurun akibat jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

