Pertama kali seluruh Sabah zon merah

0
1

SELURUH Sabah bertukar kepada zon merah hari ini susulan Nabawan yang menjadi daerah terakhir berada dalam zon jingga semalam, mencatat pertambahan lapan kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, situasi ini menjadikan semua 27 daerah di seluruh Sabah berada dalam zon sama buat kali pertama sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu.

“Hari ini semua 27 daerah di Sabah adalah zon merah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tawau menjadi daerah pertama diisytihar zon merah di Sabah pada 29 Mac tahun lalu, diikuti Kota Kinabalu diisytihar zon merah kedua pada 17 April tahun lalu, sebelum disusuli daerah-daerah lain.

Sementara itu, Masidi berkata, kes harian Covid-19 di Sabah kekal tinggi dengan 1,247 kes direkodkan hari ini, berbanding 1,379 kes semalam.

Menurutnya, walaupun ada sedikit penurunan, jumlah kes masih mencatat empat angka yang menggambarkan situasi Covid-19 di Sabah kekal pada paras kritikal.

Kelazimannya, Masidi berkata, saringan kontak rapat menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 770 kes atau 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

“Kes melalui saringan bergejala juga masih tinggi dengan 295 kes atau 24 peratus daripada jumlah kes, diikuti 87 kes (tujuh peratus) melalui saringan kluster sedia ada.

“Seramai 842 orang dijangkiti COVID-19 hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, diikuti 11 orang dalam kategori tiga, lima orang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima.

“Sebanyak 31 peratus daripada kes dilaporkan hari ini masih dalam siasatan untuk menentukan kategori jangkitan atau sakit mereka,” katanya.

Sementara itu, Masidi menjelaskan, sebanyak 11 kematian turut direkodkan di Sabah hari ini iaitu tiga kes di Tawau, masing-masing dua kes di Tuaran dan Papar serta masing-masing satu kes di Kota Marudu, Ranau, Kota Kinabalu dan Penampang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here