PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penangguhan pemilihan Umno tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia melibatkan 66,287 mesyuarat.
Menurutnya, pemilihan Umno akan melibatkan seramai 3.3 juta ahli iaitu cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat).
Selain itu, katanya, terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Manakala sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya.
“Maka kita bimbang jika perkembangan muktahir itu cuma satu tindakan terdesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba menekan Umno dan melemahkan Umno.
“InsyaAllah Umno tidak berdiam diri. Umno tahu apa perlu dilakukan. Namun bagaimana dengan Ahli Parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan PN?,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, adakah Ahli Parlimen Umno yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merestui Umno diperlakukan seperti itu.
“Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insafilah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara,” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarahnya Jasri Kasim, berkata ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
“Umno perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat,” katanya. – Malaysiapost

