Rosni letak jawatan Ahli Lembaga PTPTN

0
1

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Rosni Sohar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkuatkuasa semalam.

Rosni berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan peletakan jawatan Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Noraini kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

“Saya sebagai ahli MKT Umno turut setia dan patuh atas ketetapan yang telah dibuat parti.

“Umno merupakan parti keramat yang memperjuang dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam asas serta tujuan Umno mengikut Fasal 3,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rosni yang juga Setiausaha Wanita Umni turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan beliau.

Kelmarin, Noraini yang juga Ketua Wanita Umno meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta susulan keputusan MKT Umno pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Noraini menjadi Menteri Kabinet kedua melepaskan jawatan selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Selasa lalu. – Malaysiapost

Kredit Foto: Umno Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here