2 anggota polis maut kejar Mat Rempit

0
1
Polis Di Raja Malaysia

DUA anggota polis maut selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan tugas menerusi operasi samseng jalanan di Kilometer 24.4 Lebuh Raya Silk arah Kajang ke Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Sarjan Mohd Arifah Md Yassin, 36 dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis trafik berpangkat sarjan dari arah Kajang telah bertembung dengan motosikal seorang konstabel yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah D4.

“Kedua-dua mangsa adalah anggota dari IPD Kajang yang menjalankan tugas bersama-sama dalam operasi samseng jalanan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Ketika kejadian, mangsa sedang mengejar suspek lumba haram dan lokasi kejadian adalah laluan yang sering digunakan oleh samseng jalanan untuk berlumba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here