‘Kami tetap bangga dengan Jijoe’

0
1

KELUARGA pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berbangga dengan pencapaian atlet itu membawa pulang pingat Perak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Mohd Razman Mohamad, 36, yang juga abang ipar kepada Azizulhasni berkata, mereka sekeluarga seramai 10 orang sempat menyaksikan perlumbaan akhir keirin itu secara langsung di rumah mereka di Kampung Nibong Stesen di Dungun, Terengganu.

“Kami tetap bangga dengan Jijoe,” katanya seperti dilapor Harian Metro

Katanya, turut menonton adalah bapa Azizulhasni, Awang @Muda Embong, 72, yang terlantar kerana mengalami angin ahmar.

“Sedih juga kerana dia tidak berjaya memperoleh emas untuk negara tetapi pencapaian ditunjukkan Jijoe hari ini tetap cemerlang.

“Bukan senang untuk meraih pingat di Olimpik. Oleh itu pencapaian Jijoe sudah cukup membanggakan keluarga,” katanya.

Mohd Razman berkata, mereka sekeluarga sentiasa mendoakan Azizulhasni supaya dapat melakukan persembahan terbaik dan turut menunaikan solat hajat malam semalam, mendoakan kejayaannya selain memohon agar dilindungi daripada kemalangan ketika perlumbaan.

“Jijoe juga sempat menghubungi kami untuk meminta restu daripada bapa dan keluarga serta meminta kami mendoakan kejayaannya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan kejayaan pelumba Azizulhasni itu cukup bermakna.

Beliau yang turut berada di Velodrom Stadium Izu berkata amat berbangga dengan kejayaan atlet yang digelar ‘The Pocket RocketMan’ itu ketika beraksi di peringkat final pagi tadi.

“Jijoe (Azizul) dari awal telah berjanji untuk memberikan sesuatu dan beliau antara sebab saya mengemukan sasaran kerana kesungguhan, iltizam dan kemahuan dia.

“Dan hari ini beliau telah tunjukan dan saya sangat berbangga dengan anak Terengganu ini kerana ‘spirit’ luar biasa.

“Berada di velodrom ini menyaksikan semangat juang dan beliau mendapat tepukan gemuruh bukan sahaja daripada kontinjen Malaysia tetapi seluruh penyokong di kalangan negara Jepun,” katanya ketika ditemubual Astro Arena hari ini.

Reezal Merican berkata, tiada ungkapan yang boleh menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang dirangkul atlet itu di Olimpik Tokyo hari ini.

“Saya yakin seluruh rakyat di tanah air juga menyaksikan bagaimana beliau yang berada di kedudukan terakhir sebelum berjaya berada di podium. Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Malaysia yang terus berdoa untuk kejayaan ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Azizulhasni merangkul pingat perak buat Malaysia di peringkat akhir acara keirin lelaki di Izu Velodrome in Shizuoka, Olimpik Tokyo.

Pelumba Britain Jason Kenny memenangi pingat emas sekali gus mempertahankan pingat yang dimenanginya pada Sukan Olimpik Rio 2016 manakala pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memenangi gangsa. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/Reezal Merican

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here