Puad gelar Nazri Aziz ‘biawak’ sepanjang zaman

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai liabiliti atau ‘biawak’ sepanjang zaman.

Kenyataan itu susulan tindakan Mohamed Nazri yang didakwa mengeluarkan ayat kesat terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam satu artikel diterbitkan sebuah portal berita, baru-baru ini.

Mohd Puad turut mengingatkan Mohamed Nazri supaya tidak terlalu mengampu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga sanggup bertindak keterlaluan.

“Menyinga betul Nazri pada Najib. Tergamak dia maki Najib. Kenapa hilang akal bila nak tunjuk sokong PM (Perdana Menteri)?.

“Kalau ya pun mahu pusing 360 darjah dan mengampu Muhyiddin janganlah sampai keluar kata kata lucah seperti itu. Melampau.

“Tetapi itulah Nazri. Dia rasa dirinya saja yang betul. Padahal dia adalah “liability” (biawak) sepanjang zaman. Kehadirannya tidak tambah sokongan. Mengurangkan sudah pasti,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, kenyataan Mohamed Nazri juga tidak konsisten berhubung sokongan terhadap Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN).

“Mula-mula Nazri dakwa ada 25 MP Umno tulis surat kepada YDP Agong sokong (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) sebagai juru cakap mereka. Ada kata mungkin calon TPM (Timbalan Perdana Menteri).

“Kemudian dia umum 40 MP BN sokong PN. Dia marah Najib ulas pasal PC (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob), yang dakwa 31 MP BN sokong PM. Kenapa marah? Sampai hambur kata kesat?,” soalnya.

Mohd Puad berkata, sekiranya diambil daripada sudut matematik, angka 31 yang dinyatakan Ismail Sabri juga tidak tepat kerana sebetulnya hanya 23 sahaja yang menyokong kerajaan PN.

“Dari segi matematik, angka 31 itu pun tidak tepat. 15 MP Umno tarik sokongan. Maka 42-15= 27. Kalau tolak 4 MP parti komponan, MP Umno yang sokong PM hanya 23 sahaja.

“Elok Nazri terus berehar di luar negara. Tetapi beritahu isteri, jangan tayang gambar seronok di luar negara dalam Instagram. Rakyat dalam negara tengah susah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here