LEBIH 100 Ketua Umno Bahagian di seluruh negara didakwa sepakat mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu secepat mungkin.
Dakwaan itu dibuat Ketua Umno Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin kononnya sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 3 Ogos lalu.
Mohd Fuad berkata, semua Ketua Umno Bahagian berkenaan juga kecewa dengan keputusan Ahmad Zahid mengarahkan semua Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta-merta ketika rakyat sedang berhadapan pandemik Covid-19 yang kritikal.
“Ketua-ketua Umno bahagian turut berpandangan tindakan itu akan menyebabkan pemimpin Umno dilihat tidak bertanggungjawab terhadap rakyat pada saat kerajaan PN bertungkus-lumus mendepani krisis Covid-19 yang semakin serius.
“Bagaimanapun, persepakatan lebih 100 ketua Umno bahagian ini bukanlah satu gerakan untuk menjatuhkan Zahid.
“Proses ini adalah proses biasa yang akan dilaksanakan melalui pemilihan parti yang perlu dilaksanakan Zahid secepat mungkin. Tidak timbul isu kita mahu memburukkan sesiapa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Fuad menegaskan, Umno menghargai tindakan Ahli Parlimen yang kekal bersama kerajaan PN yang membuktikan menjaga kepentingan rakyat dan negara adalah lebih utama daripada sibuk bermain politik. – Malaysiapost

