Waspada beli kit ujian kendiri Covid-19 – KPDNHEP

0
2
Kit ujian kendiri Covid-19 dinamakan Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test (Saliva/Nasal Swab Samples) yang dibuat Reszon Diagnostic International Sdn Bhd Malaysia dan Gmate Covid-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea dijual di sebuah farmasi Selayang ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan pengguna untuk berhati-hati ketika membeli kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran.

KPDNHEP berkata, pihaknya mengesan terdapat farmasi di Pahang yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 daripada syarikat yang belum mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk mengedar dan menjual kepada orang awam.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati farmasi berkenaan membekalkan kit ujian bukan daripada enam syarikat yang sudah diluluskan sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati farmasi berkenaan mendapat bekalan kit ujian kendiri Covid-19 itu di sebuah farmasi dari Pahang.

“Pemeriksaan juga mendapati farmasi berkenaan mematuhi penandaan harga ke atas barangan terbabit bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipaparkan.

“Ini kerana sehingga kini kit ujian kendiri itu belum disenaraikan dalam Barangan Kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPDNHEP mengesan mengenai penjualan kit daripada syarikat yang belum diluluskan itu selepas menerima satu aduan daripada pengguna mengenai penjualan kit ujian kendiri di Terengganu yang dijual dengan harga RM60 seunit.

“Bagaimanapun, KPDNHEP akan mengemukakan siasatan berkenaan kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (PDA) untuk tindakan lanjut memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian.

“Disebabkan itu KPDNHEP menyarankan pengguna untuk berhati-hati dan membuat rujukan di laman rasmi MDA bagi mendapatkan senarai syarikat dan produk yang sudah diluluskan bagi pengedaran dan penjualan kit berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada 3 Ogos lalu mengesahkan enam kit ujian kendiri diluluskan, manakala 14 lagi sedang menjalani ujian prestasi makmal terpilih ketika ini.

Katanya, penjualan kit berkenaan dijangka mampu mengurangkan kesesakan teruk di premis saringan dan mengelak berlaku penularan wabak selain boleh dijadikan pemeriksaan kendiri di rumah. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here