Jangan percaya propaganda dongeng – Zahid

0
1

JANGAN terpengaruh terhadap propaganda dongeng kononnya pentadbiran negara lumpuh jika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi berkuasa, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, propaganda ini dicetuskan oleh kumpulan yang terdesak untuk mengekalkan kuasa, jawatan dan kedudukan.

“Tidak benar sama sekali. Ini sentimen yang sedang cuba direka oleh pasukan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Dakyah ini direka oleh kumpulan yang sedang terdesak bagi mengekalkan kuasa, jawatan dan kedudukan,” katanya di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, negara masih boleh diuruskan sementara dibawah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian ketika proses penubuhan kerajaan yang baharu.

“Walau kerajaan PN tidak lagi berkuasa, pentadbiran negara terus berfungsi secara sementara dibawah KSU Kementerian.

“Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020, pentadbiran negara masih berfungsi.

“Sejurus kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang angkara fitnah pada Mei 2018, pentadbiran negara terus berfungsi,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kesal dengan dakyah dan propaganda yang tersebar itu kerana cuba mengelirukan rakyat.

“Sangat tidak bertanggungjawab apabila mereka berterusan cuba mengelirukan rakyat dengan pembohongan itu pula,” katanya.

Kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagai ‘telur di hujung tanduk’ apabila Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Bagaimanapun, Muhyiddin mendakwa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan berjanji mengesahkan keabsahan melalui undi percaya terhadapnya pada sidang Parlimen bulan depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here