KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung perarakan Ahli Dewan Rakyat ke bangunan Parlimen, Isnin lalu.
Difahamkan, Ahli Parlimen Port Dickson diambil keterangan di ibu pejabat PKR Petaling Jaya bersama Dr Wan Azizah pada jam 11.30 pagi tadi bagi proses dirakam percakapan.
Sementara itu, peguam Anwar, Datuk Sankara Nair memaklumkan, Anwar dan isteri memberi kerjasama penuh ketika pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada mereka.
Beliau berkata, keterangan diambil hari ini tertumpu kepada siasatan berhubung perarakan sekumpulan Ahli Parlimen, Isnin lalu.
“Ahli Parlimen yang selebihnya memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Isnin lalu, sekumpulan Ahli Parlimen Pembangkang dilaporkan cuba memasuki pekarangan bangunan Parlimen selepas Sidang Khas Parlimen ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19. – Malaysiapost

