HRPB nafi bekalan ubat pesakit Covid-19 terputus

0
2

HOSPITAL Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menafikan dakwaan bahawa bekalan ubat-ubatan di hospital berkenaan terputus ekoran pandemik Covid-19 seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan Khamis lalu.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman, berkata bekalan ubat-ubatan untuk rawatan pesakit Covid-19 akan dibekalkan secara berperingkat untuk memenuhi keperluan perolehan.

“HRPB mengambil maklum berkenaan isu yang ditularkan berkaitan gangguan bekalan stok ubat akibat wabak Covid-19 di mana memo dalaman hospital telah disebarkan.

“Memo dalaman ini adalah berkaitan gangguan ubat-ubatan peringkat global untuk edaran dan makluman semua Ketua Jabatan HRPB sahaja.

“Memo tersebut dikeluarkan sebagai persediaan awal serta disusuli tindakan yang terancang untuk mengatasi masalah gangguan bekalan ubat-ubatan bagi mengelakkan putusnya perawatan pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Abdul Malek berkata, permintaan penggunaan ubat yang tinggi untuk rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan sebahagian besar ubat-ubatan untuk rawatan penyakit itu meningkat secara mendadak sejak Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya bekalan ubat-ubatan tersebut tidak terputus sepenuhnya dan dibekalkan secara berperingkat.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah tersebut seperti membuat perolehan darurat dan bekerjasama dengan pembekal-pembekal kontrak untuk mencari sumber-sumber alternatif.

“Selain itu, perbincangan juga turut dilakukan dengan Ketua Pakar Penyakit Berjangkit berhubung ubat-ubat alternatif lain yang dapat digunakan untuk memastikan kesinambungan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan,” katanya lagi.

Katanya, HRPB sentiasa komited dalam memastikan situasi tersebut dipantau dan sebarang isu diselesaikan dengan sebaiknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here