AHLI Parlimen Umno tidak sewajarnya mempertikaikan surat parti yang meminta mereka menyatakan pendirian berhubung sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata surat menyatakan pendirian itu dibuat berdasarkan perlembagaan serta etika parti.
Ahmad berkata, surat yang dihantar itu berdasarkan kapasiti jawatannya sebagai Setiausaha Agung Umno dengan menggunakan lambang parti dan bukan atas nama dirinya.
“Saya (Ahmad Maslan) memang tiada kuasa, tetapi sebagai Setiausaha Agung Umno, saya perlu menjalankan tugas dengan melaksanakan arahan-arahan parti.
“Oleh itu pihak yang mempertikaikannya adakah mereka faham, mereka bertanding atas tiket Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN). Jadi surat saya tidak bertentangan dengan etika parti,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut, hari ini.
Khamis lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan beliau tidak akan menjawab surat yang dihantar Setiausaha Agung Umno itu.
Mohamed Nazri menegaskan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), beliau hanya akan akur dengan keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN.
Sebelum itu, Ahmad dilaporkan telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen Umno agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis dengan menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.
Menerusi surat itu juga, Ahmad mengingatkan semua Ahli Parlimen Umno agar patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi parti pada 3 Ogos 2021, yang antara lain menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

