Sokongan terhadap PM semakin mengecil – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

MAJORITI sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat semakin mengecil dan bukan bertambah walaupun dikatakan mendapat sokongan daripada 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, mendakwa keadaan itu berlaku susulan sebelum ini seramai 40 Ahli Parlimen BN dikatakan menyokong kerajaan, namun hari ini hanya 21 yang tampil menyatakan sokongan.

Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, jika benar sekalipun seperti didakwa mengatakan keseluruhan 31 Ahli Parlimen BN menyokong, maka ia tidak mencukupi majoriti 115 yang dikatakan sebelum ini

“21 hadir sidang media hari ini. Didakwa pula ada sokongan 31 orang BN sebab 10 orang tak hadir.

“Tapi hari itu bukan kata ada 40 orang BN yang sokong PN untuk menjadikan sokongan majoriti sebanyak 115?

“Jadi, PM8 masih ada sokongan majoriti ke jika angka 40 itu sudah jatuh ke 21 atau 31?” soalnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Najib turut mendakwa majoriti sokongan yang dimiliki kerajaan PN dan Perdana Menteri semakin mengecil dan bukannya semakin bertambah walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu untuk meraih sokongan.

“Tak kan dah usaha begitu lama dengan kuasa penuh darurat ‘scheme of things’ selama tujuh bulan untuk pujuk atau ugut tapi nombor semakin mengecil?” sindirnya.

Terdahulu dalam satu sidang media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 21 Ahli Parlimen telah membuat pendirian dan disokong 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak dapat menghadiri perjumpaan yang dibuat bermula pagi tadi.

Katanya, terdapat 31 Ahli Parlimen yang menyatakan pendirian yang sama iaitu kekal bersama kerajaan PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here