KERAJAAN perlu bertanggungjawab dan meminta maaf kepada rakyat susulan dilihat gagal menangani pandemik Covid-19 sehingga wabak berkenaan semakin meningkat dengan ratusan jumlah kematian dilaporkan setiap hari.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata keadaan kini sudah semakin berada di paras kritikal dan Malaysia berada di kedudukan tercorot dalam ranking pengendalian wabak covid-19.
Menurutnya, perkara berkenaan berlaku susulan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mahu mendengar cadangan daripada pihak lain untuk menangani wabak berkenaan, sehingga keadaan menjadi semakin teruk.
“Air paras hidung. Satu inci lagi akan lemas.
“Sewaktu air di paras pusat dulu, kerajaan berulang kali meyakinkan mereka mampu menyelamat semua orang. Semua cadangan lain ditolak, kerana kerajaan kata dia lebih tahu segalanya.
“Kini air paras hidung. Hospital sesak, wad ICU penuh, ramai yang tak dapat rawatan sepatutnya. Ratusan kematian setiap hari. Letih, lelah dan kecewa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, ramai rakyat yang terkesan dan menderita susulan kes Covid-19 semakin teruk termasuk ada yang sudah tidak bekerja berbulan-bulan dan tiada pendapatan, namun komitmen bulanan perlu dibayar.
“Di luar sana, ramai yang dah tak bekerja berbulan-bulan.. Sewa, hutang bank kena bayar. Simpanan dah habis, anak perlu makan. Bil kena bayar. Sakit perlu ke klinik. Letih, lelah dan kecewa.
“Ya tukar kerajaan sekarang tak boleh selesaikan segalanya. Kerana air sudah di paras hidung. Tetapi tidakkah ada perasaan untuk ambil tanggungjawab? Minta maaf kepada rakyat? Mengaku kesilapan?” katanya. – Malaysiapost

