SPRM nafi penjaga pintu masuk PPV kenakan caj rasuah RM80

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan video tular mendakwa penjaga pintu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Shah Alam Convention Centre (SACC) mengenakan caj rasuah RM80 kepada individu yang mahu masuk ke pusat itu.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya menjalankan risikan bagi memantau tomahan terbabit dan mendapati kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam seperti dinyatakan dalam video tersebut.

Menurut SPRM, isu yang dibangkitkan dalam video itu ialah berhubung segerombolan individu bukan warganegara Malaysia beratur panjang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga menyebabkan kesesakan di PPV SACC, Shah Alam.

“Dikatakan juga, penjaga pintu di PPV tersebut telah mendapat sejumlah wang rasuah sebanyak RM80 bagi setiap orang yang ingin mendapatkan vaksin.

“Sehubungan itu, SPRM telah menghantar pasukan pegawai risik bagi memantau tohmahan terbabit.

“Hasil risikan mendapati, kejadian yang berlaku adalah di PPV Pusat Konvensyen Midlands dan bukannya di PPV SACC, Shah Alam sepertimana dikatakan dalam video tersebut,” menurut kenyataan itu.

SPRM berkata, PPV Midlands dijadikan Pusat Program Vaksin Pekerja Industri (PPVIN) iaitu sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). 

Menurut kenyataan itu, terdapat masalah pada sistem di mana temujanji untuk individu juga terselit di PPV Midlands yang menjadi punca kesesakan.

“Oleh itu, dikatakan punca kesesakan adalah daripada tindakan pekerja asing hadir tanpa janji temu bagi mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin. 

“Tohmahan yang mengatakan bayaran rasuah RM80 perlu dibayar kepada penjaga pintu untuk dapat masuk adalah tidak benar,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM menasihati orang ramai untuk melaporkan terus apa-apa maklumat berhubung rasuah dengan menghubungi mana-mana pejabat SPRM dan bukannya menghebahkan di media sosial.

Terdahulu, dalam video tular berdurasi 1 minit 6 saat yang dirakam seorang lelaki mendakwa, kesesakan yang berlaku di PPV berkenaan adalah disebabkan keenganan orang ramai membayar caj RM80 untuk masuk ke pusat vaksin berkenaan.

Menurut video itu, pekerja syarikat besar yang membayar caj RM80 berkenaan telah diberi keutamaan untuk masuk bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

Sementara mereka yang enggan membayar perlu beratur panjang menunggu giliran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here