Najib sanggup sokong PN

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sanggup menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya mendapat penjelasan mengenai beberapa persoalan berhubung langkah-langkah kerajaan yang dilihat gagal dalam menangani Covid-19.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata langkah-langkah yang perlu penjelasan antaranya adalah tindakan kerajaan menarik perintah pelawat asing kuarantin di pusat kerajaan tetapi kuarantin kendiri di rumah hingga mencetuskan kluster Sivagangga pada Julai 2020.

Menurutnya, persoalan lain mengenai langkah kerajaan membenarkan kuarantin kendiri selama tiga hari sahaja bagi mereka yang pulang dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Oktober tahun lalu.

“Langkah kerajaan membenarkan rentas negeri dan pelancongan pada bulan Disember 2020 ketika kes baharu sebanyak 1,600 kes. Akibat keputusan ini, kes naik ke 2,232 sebulan kemudian.

“Kerajaan tiba-tiba mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing daripada 14 hari ke tujuh hingga 10 hari pada Disember lalu pada ketika seluruh dunia sedang ketatkan lagi proses kuarantin sebab varian baharu sedang mengganas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, penjelasan juga perlu diberikan mengenai langkah kerajaan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak pada PKP 2.0 di mana kilang dan tapak pembinaan merupakan penyumbang terbesar Covid ketika itu namun dibenarkan beroperasi.

“Pada Februari 2021, Kerajaan umum sekolah dibuka semula pada Mac ketika kes baharu lebih tinggi berbanding masa darurat bermula.

“Kerajaan tunggu sehingga penggunaan kapasiti ICU cecah 103 peratus sebelum mengumumkan total lockdown pada Jun biarpun sudah diberi amaran bahawa penggunaan ICU hospital sudah membimbangkan seawal bulan April,” katanya.

Najib berkata, paling menyedihkan ialah langkah-langkah tersebut adalah terlalu jelas merupakan satu kesilapan besar yang tidak masuk akal ketika ianya dilakukan.

“Setiap kali langkah-langkah di atas dilaksanakan, saya telah berulang-kali memberi amaran bahawa ianya akan membawa parah pada negara tetapi kerajaan tidak mahu dengar.

“Ya, pandemik mengancam seluruh dunia tetapi Malaysia tidak jadi antara negara paling corot dalam dunia dari segi Covid dan ekonomi tanpa sebab,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menjadi satu-satunya sahaja negara dalam dunia di mana makin lama kita berkurung, makin tinggi Covid naik biarpun kerajaan sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.

“Perlu ada seorang yang bertanggungjawab sebab kesilapan-kesilapan di atas adalah terlalu jelas serta tidak masuk akal dan kerosakan serta kehilangan nyawa yang dibawanya adalah terlalu besar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here