Perhalusi keputusan buka sekolah September ini

0
1

KERAJAAN diminta memperhalusi keputusan membuka sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dijangka bermula September ini, susulan perkembangan situasi terkini jangkitan Covid-19 yang kini sudah mencecah 20,000 kes sehari.

Sesi PdP secara bersemuka dikhuatiri akan mendedahkan pelajar kepada Covid-19 sehingga mengancam nyawa kerana Program Imunisasi Covid-19 Kerajaan (PICK) sehingga ke hari ini masih belum melibatkan golongan pelajar.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada 17 Julai 2021 menyatakan bahawa sekolah boleh dibuka seawal September tahun ini.

Katanya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pula mengesahkan bahawa setakat ini, seramai 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala seramai 215,999 orang guru lagi telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 dengan berbaki lebih 85,000 masih belum divaksin.

“Pemuda Umno berpendapat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lepas telah menyebabkan sistem pendidikan negara terdedah dengan risiko keciciran yang teruk di kalangan anak-anak kita yang bersekolah.

“Pun begitu, disebalik perancangan KPM dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan program vaksinasi bagi guru-guru bagi menyokong pembukaan sekolah seperti dijadualkan, Pemuda Umno menggesa agar perkara ini diperhalusi dengan lebih teliti dan mengambil kira risiko besar dari penularan varian baharu Covid-19.

“Dengan angka kes baharu Covid-19 yang kini sudah mencecah 20,000, Pemuda Umno tidak mahu anak-anak kita dan murid-murid ini terdedah dengan varian baharu yang lebih memudaratkan sehingga mengancam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, justeru, adalah menjadi kewajiban bagi Kerajaan melalui kerjasama erat di antara KPM dan KKM untuk mula mengambil kira soal program vaksinasi untuk murid-murid sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih segar dan realistik.

Beliau berkata, ia termasuklah penyediaan infrastruktur internet, tablet peranti, pemurnian kandungan akademik dan DidikTV serta penggubalan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian dan selamat sekiranya masih mahu sekolah dibuka seperti yang dirancang.

“Pemuda Umno sedia membantu memberikan input dan pandangan mengenai perkara ini kerana semua pihak tidak mahu risiko keciciran menjadi bertambah besar sehingga boleh mencetuskan sebuah ‘generasi yang hilang’ di kalangan anak-anak kita akibat terputusnya pendidikan yang penting di dalam tumbesaran minda dan sahsiah mereka,” katanya.

Julai lalu, KPM mengumumkan sesi persekolahan PdP bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.

Menurut KPM, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here