Sistem kehakiman negara boleh dijual beli? – Pemuda Umno

0
1

PEMUDA Umno mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kononnya terdapat desakan untuk campur tangan kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dakwaan yang dilakukan itu adalah amat serius kerana ia melibatkan campur tangan cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman yang bertanggungjawab terhadap sistem keadilan negara.

Menurutnya, susulan itu Pemuda Umno Bahagian-Bahagian di seluruh Malaysia telah membuat laporan polis semalam terhadap dakwaan berkenaan.

“Di dalam ucapannya, Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan dan petikan kenyataan yang berkenaan adalah seperti berikut;
…’ini termasuklah desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah’.

“Perdana Menteri seolah-olah mewujudkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara selama ini boleh dijual beli, sekaligus merosakkan imej serta integriti Mahkamah sebagai institusi yang mendaulatkan keadilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, namun boleh difahami bahawa laras bahasa digunakan Perdana Menteri adalah cuba membentuk persepsi tidak baik terhadap kepimpinan parti Umno, khususnya Presiden dan bekas Presiden.

“Ia bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap sebuah Kerajaan yang telah gagal memperjuangkan kebajikan rakyat dan menangani pandemik.

“Sedangkan, kedua-duanya sendiri telah memaklumkan berkali-kali mahu berjuang di mahkamah bagi membersihkan nama mereka atas segala pertuduhan yang dihadapi dan tidak akan sesekali mengheret parti,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, sedih apabila melihat seorang Perdana Menteri sanggup bertindak sedemikian rupa demi memastikan dirinya terus kekal berkuasa.

“Kami Pemuda Umno mendesak agar pihak polis dapat segera menyiasat dakwaan yang boleh dianggap satu bentuk fitnah yang mempunyai niat jahat untuk menghina dan mempersendakan seteru politiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here