
JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 sehingga semalam ialah 23,161,255 dos membabitkan 15,162,424 orang penerima dos pertama dan daripada jumlah itu, 7,998,831 orang telah terima dos kedua.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pemberian vaksin pada semalam sahaja adalah sebanyak 514,674 dos membabitkan 220,839 dos pertama dan 293,835 dos kedua.
“Jumlah yang terima dos pertama kini ialah 15,162,424 orang dan daripada jumlah itu, 7,998,831 orang telah terima dos kedua,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Sementara itu, berdasarkan data dan infografik yang dikongsinya, peratusan keseluruhan yang telah divaksinasi semakin meningkat dan setakat semalam 46.4 peratus daripada jumlah populasi penduduk Malaysia sudah menerima satu dos vaksin.
Daripada jumlah itu, 24.5 peratus sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, manakala golongan dewasa yang menerima satu dos vaksin adalah sebanyak 64.8 peratus.
Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pemberian vaksin tertinggi iaitu 6,104,544 dos pertama dan 2,807,441 lengkap dua dos. – Malaysiapost
