Covid-19: Suami isteri sehidup semati

0
1

PASANGAN suami isteri masing-masing menghembuskan nafas terakhir mereka berselang 29 minit kerana Covid-19, pada 29 Julai lalu.

Detik sedih itu dihadapi pensyarah, Wan Su Emi Yusnita Wan Yusof, 39, dan empat adiknya apabila ibu mereka, Aminah Yaakub, 59, serta bapanya, Wan Yusof Wan Abdullah, 63, pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Wan Yusof menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.32 pagi di Hospital Jelebu disusuli Aminah di Hospital Tampin, Negeri Sembilan jam 9.01 pagi.

Jenazah kedua-duanya sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Bagan Pinang, Port Dickson.

Wan Su Emi Yusnita yang menetap di Sungai Besi, di sini, berkata dia dan adik beradiknya sudah lama bersedia dengan kemungkinan bapanya akan meninggal dunia kerana penyakit kronik dialami namun terkejut apabila ibunya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kanan dipotong akibat diabetes turut dijemput Ilahi pada hari yang sama.

“Abah memang mempunyai penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan masalah buah pinggang akibat diabetes malah baru keluar daripada hospital pada 16 Julai lalu.

“Keesokan harinya (17 Julai), abah demam diikuti emak dan adik kedua, keempat serta bongsu.

“Melihat keadaan emak yang demam sehingga (badannya) menggigil, adik membawanya menjalani ujian saringan Covid-19 pada 20 Julai iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan disahkan positif keesokan harinya sebelum dimasukkan ke hospital hari yang sama.

“Sementara itu, abah pula dibawa menjalani ujian saringan pada 21 Julai dan disahkan positif Covid-19 pada keesokannya sebelum dimasukkan ke Hospital Jelebu pada 23 Julai,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Wan Su Emi Yusnita, hanya dia dan adik ketiganya, Wan Mohd Hanafiah, 33, saja yang berpeluang membuat pengecaman serta menatap jenazah ibu bapa mereka.

Sementara itu, Wan Su Emi Yusnita berkata, tiga lagi adiknya iaitu Wan Nur Hashimah, 36; Wan Nur Ainshatun, 26, dan Wan Shafiqah Zaharah, 24, tidak dapat turut sama kerana masih menjalani kuarantin selepas positif Covid-19.

“Selepas dapat tahu emak meninggal dunia, saya hilang kata-kata dan bertambah terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian abah yang rupanya pergi lebih awal.

“Mujurlah urusan pergerakan rentas negeri berjalan lancar dan saya uruskan pengecaman jenazah abah manakala adik lelaki membantu urusan emak di hospital.

“Adik yang lain pula tidak dapat bersama jadi hanya berpeluang melihat wajah jenazah emak dan abah menerusi panggilan video. Detik itu yang membuatkan kami semua sukar mengawal emosi termasuk saya,” katanya.

Wan Su Emi Yusnita berkata, perasaan sedih itu bertambah kerana dia tidak dapat memeluk dan mencium jenazah ibu bapanya buat kali terakhir.

Bagaimanapun, dia dan adik beradik cuba memujuk diri serta bersangka baik dengan ketentuan Allah. – Malaysiapost

“Abah sudah lama tenat sebenarnya tetapi Allah panjangkan umurnya dan takdirkan arwah pergi bersama emak.

“Sebagai anak, saya tentunya sedih apabila hilang kedua-duanya tetapi reda kerana memikirkan bagaimana keadaan emak seandainya abah yang pergi meninggalkannya memandangkan mereka berdua rapat walaupun sudah 40 tahun berkahwin.

“Rezeki arwah emak dan abah juga apabila pusara mereka bersebelahan satu sama lain malah ini bukti cinta mereka sehingga hujung nyawa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here