ZAMIL Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan sumpah Laknat bagi membuktikan Perdana Menteri itu bercakap benar mengenai desakan mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Timbalan Presiden Penyatuan Ummah Malaysia itu berkata, desakan tersebut diberikan oleh pihak Umno kepada Muhyiddin kerana beliau tidak membantu mereka dalam urusan mahkamah.
“Namun, kamu nyatakan dalam keadaan sembunyi dan tidak menyebut nama tetapi siapa lagi yang dituju, tentu sahaja dua tiga orang pemimpin Umno yang kita sedia maklum.
“Justeru, saya nak ingatan Muhyiddin Yassin, mereka didakwa di mahkamah sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri.
“Ia kerana mereka tidak mengikuti cakap dan akur kepada kehendak Dr Mahathir untuk bubarkan Umno jadi disebabkan itu mereka menghadapi masalah sehingga hari ini,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.
Sehubungan itu, Zamil berkata, adakah individu-individu terbabit meminta pertolongan dengan Muhyiddin untuk bebas daripada pendakwaan mereka.
“Bagaimanapun, kami sebagai ahli di bawah tidak percaya kenyataan kamu.
“Dengan itu, saya cabar kamu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk buat satu sumpah laknat di mana-mana masjid,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini mendakwa kemelut politik yang melanda negara sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.
Dakwanya lagi, mereka itu kurang senang dengan ketegasannya tidak melayan beberapa tuntutan termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah – Malaysiapost
Artikel berkaitan

