Umno kesal tuduhan tidak bebas pendakwaan mahkamah

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan bahawa penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkait dengan kes pendakwaan di mahkamah.

Beliau menegaskan, tuduhan yang dilemparkan kepada Umno itu tidak benar langsung.

“Tuduhan itu sangat kasar dan tidak senonoh. Menuduh pimpinan Umno tidak menyokong kerajaan PN kerana tidak dibebaskan daripada pendakwaan.

“Justeru, Umno berasa kesal sehingga ke tahap itu tuduhan sanggup dibuat demi memelihara kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tuduhan daripada pihak berkenaan itu tidak berasas dan sebaliknya menggunakan cara sedemikian bagi mengalih perhatian rakyat berhubung kegagalan mereka.

“Institusi diraja dipersenda, demokrasi dipermain, undang-undang dimanipulasi dan kini rakyat dibohongi.

“Sanggup berdusta untuk memesongkan perhatian rakyat daripada isu pokok iaitu kegagalan dan hilang sokongan.

“Jika mahu tahu kaedah menyelamat diri daripada pendakwaan boleh lihat ‘katak’ yang kini selesa di seberang jalan. Boleh juga lihat kepada ‘belatuk’ yang kekenyangan dedak dalam sangkar serba baharu dan pesona.

“Walhal mereka sebenarnya telah gagal menjadikan Umno sebagai perisai mempertahan jawatan dan kedudukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau dengan tegas meminta para pemimpin Umno wajib mempertahankan parti politik ini supaya tidak tersasar dari landasan rakyat.

“Ia kerana Umno sebuah parti politik milik rakyat, sejak ditubuhkan Umno dan rakyat berpisah tiada.

“Umno juga mendaulatkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu sejak merdeka.

“Pewaris Umno tidak boleh menyimpang daripada falsafah dan semangat ini dengan apa jua alasan,” katanya.

Beliau berkata, pimpinan Umno yang setia perlu tegas mempertahankan pendirian, agenda, maruah dan jati diri untuk parti, rakyat dan negara.

“Suara akar umbi di Perhimpunan Agung Umno kita terjemahkan. Meskipun itu bermakna perlu berdepan dengan pendakwaan dan tekanan yang sangat hebat.

“Ini bukan terjemahan tanpa fakta. Telah terbukti sejak 9 Mei 2018. Umno tidak boleh berpeluk tubuh menyaksikan hari demi hari ratusan rakyat gugur angkara kegagalan yang nyata.

“Umno tidak boleh berdiam diri melihat rakyat terus hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan. Perjuangan diteruskan. Umno perlu bertindak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here