ARAB Saudi membuka pintu sempadan kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lalu dan ia adalah satu penghormatan serta pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif Covid-19 yang tinggi, tetapi kadar vaksinasi yang amat pantas menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussien Saeed Qattan ketika pertemuan mereka, semalam.
“Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif Covid-19 yang tinggi, tetapi kadar vaksinasi yang amat pantas (antara terpantas di dunia) menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.
“Disamping itu, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes hanya di tahap satu dan dua serta kadar kesembuhan 81.37 peratus menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Menurutnya, buat masa ini, Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.
“Saya ingin menyeru untuk umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat.
“Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan sejuta dos vaksin Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz dan Yang Mulia Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief). – Malaysiapost

