TINDAKAN kerajaan menutup Parlimen atas alasan risiko penularan wabak Covid-19 terus dipertikai dan dilihat sebagai tidak wajar serta tidak masuk akal.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya menutup Dewan Rakyat, manakala semua Ahli Parlimen masih dibenarkan bebas bergerak ke mana sahaja.
“Adakah Dewan kosong yang menjangkit ataupun manusia terdedah kepada risiko Covid-19 yang menjangkit?
“Jadi, kenapa pula kerajaan kuarantinkan Dewan Rakyat yang kosong untuk dua minggu tetapi Ahli-Ahli Parlimen yang terdedah dibenar ke sini dan ke sana termasuk menghadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), masuk ofis dan berkali-kali meeting malam di rumah pula?” soalnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, keputusan tidak tepat kerajaan dalam menangani Covid-19 itulah antara punca wabak berkenaan kini semakin meningkat dan kesannya bertambah parah kepada rakyat serta negara.
“Data dan sains siapakah yang mendorong keputusan ini? Covid boleh membiak seperti lipas dalam dewan kosong ke? Langsung tak masuk akal.
“Keputusan pelik ini antara contoh kenapa Covid menjadi semakin parah bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Menurutnya, jika Ahli-Ahli Parlimen yang dikatakan terdedah kepada risiko dan penularan wabak Covid-19 dibenarkan ke mana-mana maka ianya selamat untuk membuka semula Parlimen sekarang juga kerana dewan kosong tidak menjangkiti sesiapa. – Malaysiapost

