MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung Jumaat lalu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, sumber memaklumkan, ia dipercayai akibat masalah kesihatan jantung dialami Setiausaha Agung PAS itu sehingga terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.
Difahamkan, beliau dimasukkan ke sebuah hospital di Lembah Klang iaitu Pusat Perubatan IHEAL, bersebelahan dengan Mid Valley, Kuala Lumpur.
“Datuk Seri Takiyuddin jalani angiogram kelmarin selama 3 jam sebab ada tiga tempat yang tersumbat.
“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan dipercayai keluar esok,” katanya.
Minggu lalu, Takiyuddin diasak pembangkang berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.
Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan. – Malaysiapost

